KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sistem e-Testing bagi pengambilan ujian lesen memandu, kini dalam proses pembuktian konsep (POC) bagi memastikan pelaksanaannya menepati dan mematuhi peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong, berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Projek e-Testing, dan empat syarikat telah memohon serta diberi kelulusan menjalankan POC itu.
“Ketika ini, Jawatankuasa Teknikal sedang dalam proses penilaian ke atas sistem dibangunkan syarikat berkenaan. Laporan penilaian POC itu dijangka dapat dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan pada akhir bulan ini.
“Mana-mana syarikat yang berjaya dalam fasa penilaian POC, akan ditawar melaksanakan projek rintis bagi tempoh tertentu sebelum sistem ini mula diperkenalkan secara berperingkat di Institut Memandu seluruh negara,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Anthony Loke Siew Fook (PH-Seremban) mengenai bila sistem e-Testing dapat dilaksanakan sepenuhnya bagi semua proses ujian lesen memandu oleh JPJ dan syarikat pembekal teknologi yang dipilih untuk melaksanakan sistem itu.
Menjawab soalan tambahan Loke mengenai kesungguhan kementerian dalam melaksanakan sistem berkenaan, Henry berkata, sistem baharu itu perlu melalui POC sebelum ke peringkat ujian konsep.
“Adalah amat penting bahawa konsep baharu ini perlu diteliti dengan baik sebelum dilaksanakan kerana membabitkan masyarakat umum, dan supaya apabila diterima pakai nanti, tiada masalah yang timbul,” katanya.
Menjawab soalan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) berkaitan kesiapsiagaan kerajaan dalam pemantauan dan pelaksanaan e-Testing kepada pemandu, Henry berkata, ia bergantung pada proses POC yang sedang dijalankan.
“Proses (POC) ini dijangka berakhir pada hujung bulan ini, dan selepas itu akan dilaksanakan mengikut konsep yang dilihat baik untuk kegunaan masyarakat awam,” katanya. – BERNAMA
Sumber daripada: Berita Harian