KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan giat melaksanakan kajian mengaplikasi teknologi terkini termasuk penggunaan sistem sensor bagi ujian memandu di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata penggunaan teknologi terbabit berupaya menambah baik proses pembelajaran selain meningkatkan integriti ujian yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Sebagai contoh, kenderaan yang digunakan individu untuk mengambil ujian JPJ bukan sahaja dilengkapi kamera keselamatan bagi tujuan rakaman, malah kita meletakkan sensor pada kenderaan terbabit.
“Tiang parkir juga akan dipasang kamera dan sensor bagi menangani isu integriti yang banyak dipersoalkan ramai pihak dan mengaitkannya dengan rasuah,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Zakaria Mohd Edris (BERSATU-Libaran) yang meminta penjelasan mengenai inisiatif penggunaan teknologi internet atau kecerdasan buatan (AI) dalam Industri Latihan Pemanduan (ILP).
Menjawab soalan asal Zakaria mengenai usaha dilakukan kementerian dalam menangani masalah dihadapi ILP akibat pandemik COVID-19, Ka Siong berkata, institut memandu di seluruh negara dibenarkan beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara janji temu.
Katanya, kebenaran pembukaan ILP itu tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Di samping itu, lanjutan Lesen Belajar Memandu (LDL) yang tamat tempoh melebihi dua tahun bermula 13 Januari lalu juga dilanjutkan sehingga tahun hadapan iaitu 30 Jun 2022.
“Tempoh lanjutan dibenarkan untuk membantu mereka yang tidak dapat mengikuti proses mendapatkan lesen dan menduduki ujian memandu akibat penutupan pengoperasian Institut Memandu yang dianggarkan lebih kurang 462,000 calon yang dikatakan ‘backlog’ ini,” katanya.
Beliau berkata, lanjutan tempoh itu akan membolehkan pihak institut memandu mengaturkan ujian untuk semua calon dengan JPJ serta dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.