e-Testing wujudkan pemandu cekap, bebas ‘lesen terbang’

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sistem ujian memandu secara automasi atau ‘e-Testing’ mampu mewujudkan kalangan pemandu yang lebih cekap, mengelakkan gejala ‘lesen terbang’ sekali gus menyumbang kepada pengurangan insiden kemalangan jalan raya.

Menerusi sistem itu, pegawai penguji Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan duduk di bilik kawalan dan calon yang sedang diuji pula akan berada di dalam kereta berseorangan.

Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), Mat Aris Bakar, percaya sistem itu akan meningkatkan tahap integriti ujian memandu dengan mengatasi amalan rasuah antara pegawai penguji dengan calon, serta isu ketidakcekapan pengajar.

Sistem itu yang dikenali sebagai My A-License diadaptasi dari Korea Selatan dan China, juga diharap dapat mengatasi amalan pengeluaran lesen tanpa mengikut prosedur yang sah atau ‘lesen terbang.’

“Sistem e-Testing diusulkan PIMA dan dibangunkan sejak tiga tahun lalu, hasilnya kita berjaya wujudkan antara sistem paling lengkap kerana bukan saja kereta, ujian motosikal juga boleh menggunakan sistem ini.

“Malah, sistem yang kita bangunkan ini juga membolehkan penguji JPJ tidak perlu hadir ke pusat ujian, sebaliknya boleh memantau dari pejabat mereka, sekali gus meringankan beban anggota.

“Matlamat PIMA adalah melaksanakan amalan terbaik, melahirkan pemandu lebih kompeten, menjimatkan tenaga penguji dan pengajar serta meningkatkan tahap integriti dan keberkesanan pengajaran dan ujian memandu,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, memaklumkan sistem ujian memandu secara automasi itu akan dilaksanakan di seluruh negara selewat-lewatnya Jun ini.

Menerusi sistem berkenaan, Segala arahan atau kesalahan yang dilakukan oleh calon terbabit akan dipantau serta ditegur melalui bilik kawalan khas yang disediakan di institut memandu.

Mengulas lanjut, Mat Aris menjelaskan, pelaksanaan sistem itu memerlukan setiap kereta ujian dipasang dengan peralatan canggih seperti kamera, pengimbas dan GPS yang mampu mengesan kedudukan dan pergerakan kenderaan pada ketepatan setiap milimeter (mm).

“Alat yang dipasang boleh mengesan dengan tepat, contohnya, jika calon melanggar garisan, secara automatik sistem dapat mengesan dan calon dikira gagal. Jadi calon perlu benar-benar cekap.

“Kita juga akan perkenalkan penggunaan simulator yang akan digabungkan dengan pengajaran di litar. Sistem ini juga mampu keluarkan lesen pada hari yang sama calon lulus ujian JPJ, tapi pelaksanaannya tertakluk pada keputusan JPJ sendiri,” katanya.

Ditanya sama ada pelaksanaan sistem itu akan menyebabkan yuran belajar memandu meningkat, Mat Aris menegaskan PIMA tidak bercadang berbuat demikian.

“Kita tak berhasrat naikkan yuran kerana kita serap kos pemasangan peralatan ini menerusi penjimatan jumlah tenaga pengajar dan pengurusan,” katanya.

Sumber daripada: Berita Harian

Anda mungkin juga berminat